28 JUN : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa gencatan senjata antara Israel dan Hamas mungkin akan dapat dicapai dalam tempoh seminggu.
Keyakinan itu dibuat susulan rundingan intensif yang sedang berlangsung.
Trump berkata beliau sudah berbincang dengan beberapa pihak yang terlibat langsung dalam usaha damai itu.
“Saya percaya kita semakin hampir. Gencatan senjata mungkin berlaku dalam minggu hadapan,” katanya lapor The Associated Press.
Sementara Newsweek yang memetik sumber rapat dengan rundingan itu berkata Trump sedang berusaha meyakinkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekarang masa paling sesuai untuk mencapai perjanjian dengan Hamas.
Ia selepas tamatnya konflik 12 hari antara Israel dan Iran, beberapa hari lalu.
Menurut laporan media, Trump bukan sekadar menyasarkan gencatan senjata sementara selama 60 hari, namun turut berharap ia membuka jalan kepada rundingan damai jangka panjang antara Israel dan Palestin.