1 JUL : Jentera kerajaan diingatkan agar mengagih bantuan kepada rakyat yang memerlukan termasuk yang ditimpa bencana tanpa melihat latar belakang politik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bantuan kepada rakyat itu disalurkan mengikut keperluan dan kelayakan mereka.
“Saya ingin menegaskan bahawa dalam hal kebajikan rakyat, khususnya ketika berdepan bencana, tidak seharusnya wujud sebarang pertimbangan berdasarkan latar belakang politik. Musibah yang melanda rakyat tidak mengenal sempadan fahaman atau warna kepartian.
“Segala bentuk bantuan sama ada bakul makanan, wang ihsan atau sokongan lain mesti diberikan berdasarkan kelayakan dan keperluan, bukan atas dasar kecenderungan politik. Bantuan yang telah disediakan oleh agensi seperti NADMA harus sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh jentera pentadbiran baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri agar bersama-sama membina budaya penyatuan minda, keikhlasan tindakan dan semangat tanggungjawab bersama.
Sementara itu dalam satu klip video yang dikongsinya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata sebarang bantuan kerajaan perlu disalurkan kepada mereka yang layak.
“Saya mohon sangat-sangat, untuk rakyat jangan ada warna yang berbezalah termasuk kalau bencana negara. Jangan kerana wang datang daripada NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), pergi ke negeri pergi ke daerah jajahan bagi bantuan wang ihsan ikut warna, apa dia ni?
“Banjir ini dia kenal warna? Mangsa bencana kenal warna ke? kalau orang itu layak dapat (bantuan), berilah. Bukan kerana warna.
“Jadi, saya minta maaf banyak-banyak ya, ini tak ada kena mengena dengan orang hadapan saya tetapi saya ingin berkongsilah supaya kita bersatu hati dalam fikrah…supaya kita dapat bergerak sebagai satu pasukan. Biarlah kita lain sedikit daripada lain-lain. Tapi insya-ALLAH, yakinlah kalau kita mulakan sesuatu yang baik, akhirnya akan baik,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK