Malaysia minat beli pesawat, helikopter, kapal dari Itali

3 JUL : Malaysia berminat untuk membeli dua pesawat pemantau maritim, 28 helikopter dan kapal dari Itali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembelian aset tentera itu termasuk helikopter Leonardo AW149.
Menurutnya, syarikat Fincantieri dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (LMS).
“Pembelian aset tentera ini akan membantu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan Itali yang terkenal dengan industri ketenteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Rome sempena akhir lawatannya ke Itali, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Malaysia akan memperincikan pembelian itu bagi memastikan negara menerima manfaat itu termasuk dari pemusatan latihan.
Selain itu kata Mohamed Khaled, Malaysia mencadangkan agar pembelian aset berkenaan dibuat melalui perjanjian perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G).
“Ini akan membantu kita mendapatkan harga yang lebih baik dan jaminan aset dari kerajaan Itali,” katanya.
Anwar dan delegasi Malaysia kini meneruskan perjalanan ke Paris, Perancis untuk lawatan rasmi yang seterusnya.
Anwar kemudiannya dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.