8 JUL : Tarif import dikenakan terhadap Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia ditetapkan pada kadar 25 peratus.
Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kadar itu akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.
Turut dikenakan kadar sama adalah Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.
Afrika Selatan pula dikenakan kadar 30 peratus, sementara Laos dan Myanmar mencatat kadar tertinggi sebanyak 40 peratus.
Amaran turut dibuat Trump terhadap mana-mana negara yang bertindak balas menaikkan tarif import terhadap AS akan dikenakan kadar tambahan.
“Jika mereka mengenakan tarif tambahan ke atas produk Amerika, kami akan naikkan tarif kami lebih tinggi. Kami tidak akan berdiam diri,” kata Trump.
Terdahulu, Trump menggantung pelaksanaan kadar baharu yang diumum sebelum ini untuk memberi ruang kepada rundingan sehingga 9 Julai.
Trump dikatakan akan menandatangani perintah eksekutif melanjutkan tarikh akhir rundingan kepada 1 Ogos.
Setakat ini, hanya Britain dan Vietnam berjaya mencapai perjanjian awal dengan Washington, sekali gus mengelak dikenakan tarif baharu.
Kadar baharu ini dijangka memberi kesan langsung kepada eksport Malaysia ke AS terutama dalam sektor elektronik, produk getah dan komponen automotif yang merupakan antara penyumbang utama perdagangan dua hala.