18 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap individu yang disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melalui akaun Instagram miliknya.
Menurut MCMC, berdasarkan aduan yang diterima, individu tersebut dipercayai memuat naik satu hantaran palsu berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Bagi membantu siasatan, sesi rakaman percakapan dijalankan pada 2.30 petang (Jumaat) di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
“Turut disita, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad sim,” kata MCMC dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tegas MCMC, pihaknya memandang serius terhadap penyebaran kandungan palsu dan jelik melampau yang menyentuh integriti institusi kehakiman negara.
“Penyalahgunaan media sosial untuk tujuan sedemikian boleh menggugat kepercayaan awam dan ketenteraman negara.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.