Penghargaan luar biasa: PM minta sedikit masa sebelum umum

19 JUL : Kerajaan dijangka mengumumkan penghargaan luar biasa untuk rakyat di negara ini berkait langkah menangani kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta sedikit masa lagi sebelum membuat pengumuman tersebut.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pasukannya sedang memperinci perkara itu.
“Masalah negara kita adalah kos sara hidup. Nak naik gaji dan elaun penjawat awam RM10 bilion tahun ini, tahun depan tambahan RM18 bilion campur dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) RM13 bilion jadi RM23 bilion.
“Kenaikan bukan berlaku dalam negara kita sahaja tetapi seluruh dunia namun saya cari jalan dan ikhtiar.
“Setiap hari di Kementerian Kewangan bergelut cari yang boleh diumum dalam masa singkat, mesti umum tangani kos sara hidup.
“Jadi tunggu, kalau tak Isnin, Selasa ini. Dalam masa dua ke tiga hari lagi. Pengumuman yang nak dibuat mesti besar, sekarang kita nak bagi mantap dulu. Doa bagi elok-elok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, hari ini.
Isnin lalu, Anwar memuat naik satu poster di akaun Facebook rasminya yang mencetus tanda tanya.
Mesej pada poster itu berbunyi : ‘Akan Datang, Suatu Penghargaan Luar Biasa Buat Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku’.
