20 JUL : Penjawat awam diingatkan agar tidak menyertai himpunan yang dianjurkan bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun, Sabtu ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam tentang prinsip ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ yang dibaca.
“Mereka penjawat awam, mana boleh turun. Setiap hari, setiap minggu kita baca ikrar, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, lupakah? Terima kasihlah kepada Raja dan Negara,” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia), hari ini.
Pembangkang sebelum ini merancang untuk menganjurkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan ia akan disertai antara 10,000 hingga 15,000 orang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM menjamin polis akan mengendalikan kawalan keselamatan semasa himpunan itu secara profesional.
Namun beliau mengingatkan semua pihak agar mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
*Foto : Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar