21 JUL : Pelaksanaan penyasaran semula subsidi masih diperhalusi dalam memastikan ia tidak memberi impak negatif kepada rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia selari dengan komitmen disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan bahawa dasar membebankan rakyat perlu dielakkan.
Ini termasuk dalam isu subsidi bahan api dan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.
“Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan yang negatif kepada majoriti rakyat.
“Itulah antara sebab kenapa setelah pelaksanaan beberapa dasar sebelum ini sama ada penyasaran semula subsidi diesel dan beberapa ikhtiar yang lain, kita lihat perlu ada sedikit penelitian mekanisme penyaluran itu dan memastikan tidak ada kesan yang negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan di Pusat Media Parlimen Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata beberapa penyesuaian dilaksanakan terhadap dasar-dasar yang sudah diumum.
“Maka kalau kita lihat dalam isu perluasan skop SST juga, ada beberapa perkara yang sudah diteliti setelah diumumkan, maka beberapa penyesuaian dilaksana samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana tetapi sudah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95.
“Jadi perdana menteri ada menyentuh hal ini dalam pemukiman dengan ahli Parlimen. Beliau berhasrat untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada rakyat. Sedang diperhalusi, penelitian itulah yang menganjakkan sendiri garis masa tersebut,” katanya.