Individu disiasat muat naik kandungan jelik melampau terhadap PM
22 JUL : Seorang pengguna aplikasi TikTok disiasat selepas disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berhubung pesta tidak bermoral di dalam negara serta kenyataan rasmi Anwar berkait pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
“Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan bersifat palsu dan jelik melampau berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.
“Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Isnin, 21 Julai 2025.
“Turut disita, satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi membantu siasatan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas.
Pihaknya juga akan terus bertindak tegas demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara.