26 JUL : Kerajaan Perpaduan akan memastikan liputan 5G terus diperluas ke kawasan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jurang digital antara kawasan menjejaskan akses kepada maklumat dan peluang ekonomi.
“Di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan FELCRA dan kawasan kampung lain pun perlu ada 5G, kita berazam untuk meluaskan liputan ini ke kawasan desa.
“Di kampung pun anak-anak perlukan Internet laju, mereka perlu untuk pembelajaran dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancangan dan Pelaksana (4P) KEDA di Alor Setar, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata pihaknya akan berunding dengan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital dalam memastikan peluasan infrastruktur 5G meliputi kawasan luar bandar.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin agar menjalankan tanggungjawab yang bukan sekadar menjadi pemimpin di atas kertas.
“Pemimpin perlu mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Kita mesti jadi pemimpin yang ada di tengah masyarakat, bukan hanya di atas kertas. Keluhan rakyat perlu kita dengar sendiri, bukan hanya melalui laporan yang dihantar ke pejabat,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid juga menekankan agar bantuan dan peruntukan desa disalurkan secara telus untuk manfaat penduduk, bukan kepentingan peribadi.
