Batu Puteh: Kabinet tidak langkau keputusan AG

26 JUN : Kerajaan menegaskan keputusan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berkait isu kedaulatan Batu Puteh tidak melangkau Peguam Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu susulan tindakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membawa usul untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Namun kata Anwar, usul itu dikemukakan peguam PAS itu tanpa membaca laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Itu dia ikut proses sebab dia tak baca lagi laporan suruhanjaya laporan pasukan khas yang mengusulkan supaya laporan dibuat terhadap Tun Dr Mahathir kerana pengkhianatan terhadap negara dan tindakan susulan diambil.
“Jadi saya tidak melangkau keputusan Peguam Negara. Keputusan Kabinet…walaupun kesalahan pengkhianatan itu besar tapi melihat kepada suasana dan keadaan Tun, kita mengusulkan tak perlu ambil tindakan.
“Jadi keputusan mendakwa itu tak sampai kerana siasatan tidak dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan membawa usul tersebut dengan mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri berhubung isu Pulau Batu Puteh, Selasa lalu.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kes Batu Puteh itu menjadi pengajaran untuk Malaysia dalam mengurus rundingan antara Malaysia dan Indonesia dalam isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi.
Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia dijadual pada 29 Julai ini di Jakarta bagi membincangkan isu tersebut.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA