28 JUL : Syarikat gergasi semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies sudah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah.
Berita itu dikongsi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui satu kenyataan di Facebook.
Menurutnya, fasa pertama kilang itu bukan sahaja siap dibina, malah sudah mula beroperasi.
“Dari Potensi Ke Realiti: Infineon. Tahukah anda potensi pelaburan RM30 bilion Infineon telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Jerman susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Infineon di sana?
“Kini, potensi itu telah menjadi realiti! Infineon Technologies, gergasi semikonduktor dari Jerman, telah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah! Fasa pertama kilang ini bukan sahaja sudah siap, malah telah mula beroperasi,” katanya.
Menurutnya, pelancaran kilang itu yang dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan kerajaan pusat dalam menarik pelaburan tambahan ke Negeri Kedah.
Kata Tengku Zafrul, pelaburan mega Indineon itu bukan sahaja melonjakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran semikonduktor global, malah ia juga mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat tempatan.
“Ini adalah komitmen pelaburan yang sangat signifikan dan bukti keyakinan Infineon terhadap Malaysia.
“Komitmen Infineon untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga terserlah melalui Program Pembangunan Vendor Tempatan yang dilancarkan pada 15 Januari 2025, menyokong 139 syarikat tempatan.
“Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia yang menerima manfaat? Masih lagi nak tuduh potensi pelaburan Perdana Menteri cuma pengumuman kosong? Dari potensi, kita jadikan realiti,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK