Ketegangan kuasa besar, ASEAN tidak boleh melemah

29 JUL : ASEAN tidak boleh melemah, berpecah jauh sekali ketinggalan dalam keadaan dunia yang kini dirundung ketegangan kuasa besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara anggota ASEAN perlu bersatu dalam menghadapi perlumbaan geo-ekonomi yang melelahkan dan keruntuhan multilateralisme.
“Kita mesti bersatu, perkukuh peranan ASEAN dan memastikan suara rantau ini terus dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini selepas membuat penampilan sulung mewakili Malaysia di Gedung Sekretariat ASEAN yang berpusat di Jakarta selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam pada itu, Anwar berkata ASEAN akan terus bersuara, menjamin kerukunan dan memimpin dengan ketegasan dan tidak sekadar mengikut susun atur global.
“Kita tahu ke mana arah yang dituju dan Malaysia akan pastikan ASEAN akan lebih tegap dan melangkah sederap demi kestabilan, kemakmuran dan keamanan sejagat,” katanya.
Menurut Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia muncul memimpin usaha mendamaikan Kemboja dan Thailand, yakni dua negara tetangga yang hampir terseret ke kancah konflik yang lebih dahsyat.
Katanya, dengan penglibatan aktif China dan Amerika Syarikat, Gencatan senjata serta merta tanpa syarat berjaya dicapai.
“Ini bukti betapa diplomasi mesti memayungi usaha kita menjelmakan keamanan dan kepimpinan yang tegas.
“Saya sebut Malaysia komited memacu pelaksanaan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), mempercepat ASEAN Power Grid dan memuktamadkan ASEAN Digital Economy Framework Agreement bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK