4 NOV : Selepas hampir dua dekad mencurahkan bakti dalam sektor kesihatan negara, Ridzuan Sarif membuat keputusan meninggalkan perkhidmatan awam untuk meneruskan sumbangannya kepada masyarakat melalui pendekatan dan tanggungjawab yang berbeza.
Bekas Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Ketua Unit Inspektorat & Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka itu memutuskan untuk bersara awal selepas dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil.
Bukan laluan mudah, beliau akan menentang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga penyandang di kerusi itu selain dua calon lain.
“Bagi saya apa yang saya ada ketika itu sebelum saya bersara, cukup dah apa yang saya ada, selesalah. Tapi apabila diberi tanggungjawab, amanah saya ambil keputusan menerima,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui selepasa lawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek di Taman Tambak Paya Harmoni pada Selasa, Ridzuan menyifatkan pengalaman dalam perkhidmatan awam itu akan dimanfaatkan sebaiknya jika diberi mandat pada 14 November ini.
Dalam pada itu Ridzuan, 42 berkata, tempoh perkhidmatannya dalam sektor awam memberi peluang kepadanya menimba pelbagai ilmu dan pengalaman, terutama dalam memahami dan membantu masyarakat.
“Saya merupakan penjawat awam sebelum ini dan telah berkhidmat hampir 20 tahun. Saya kira ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bertugas sebagai penjawat awam, khususnya di Jabatan Kesihatan, merupakan pengalaman terbaik dalam membantu masyarakat setempat di Negeri Melaka secara umum.
“Pada kali ini, alhamdulillah saya diberikan amanah dan kepercayaan oleh PN sebagai calon di sini dan pastinya khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini untuk rakyat negeri Melaka akan saya fokuskan khusus kepada pengundi di DUN Bukit Katil,” katanya.
Mengulas lanjut, Ridzuan bertekad memberikan sepenuh komitmen kepada penduduk Bukit Katil dan tidak menjadikan kepenatan sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sekiranya diberi mandat.
“Saya akan teruskan khidmat ini tanpa mengenal erti penat lelah dan sebagainya. Saya infakkan diri saya untuk membantu seluruh pengundi dan penduduk Bukit Katil, insya-Allah,” katanya.
