4 OGOS : Pembangkang menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri atas peranan dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menoktahkan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata usaha dimainkan Anwar itu akna terpahat dalam sejarah.
“Apa pun peranan dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar) walau ada yang menyifatkan sebagai tuan rumah, ia tetap satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya mengucapkan tahniah dan syabas.
“Apa yang penting Malaysia akan terus kekal dihormati sebagai sebuah negara berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 28 Julai lalu, Malaysia mempengerusikan mesyuarat khas Thailand dan Kemboja di Putrajaya dan kedua-dua negara Asia Tenggara itu sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan pihaknya menyambut baik keterlibatan Malaysia dalam memperkukuh kestabilan rantau ini.
Beliau menyeru agar Malaysia terus konsisten dalam memperjuang keamanan selain berani untuk menyuarakan pendidiran tegas menentang kezaliman dan penindasan.
“Krisis kemanusiaan dan genosid berterusan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat begitu juga antara Thailand dan Kemboja tentunya memberi kesan kepada Malaysia baik secara langsung mahupun tidak langsung.
“Bagi memelihara kepentingan diplomasi dan strategik negara dari segenap sudut, maka Perdana Menteri, Menteri Luar serta seluruh anggota jemaah menteri memikul amanah besar untuk memastikan setiap kenyataan dan tindakan mereka sentiasa bersifat tersusun dan terukur,” katanya.
Terdahulu, peranan Anwar dan Malaysia dalam membawa Thailand dan Kemboja ke meja rundingan dipuji pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat.
