4 OGOS : Penyaluran bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu disemak semula agar lebih fleksibel dan berkesan dalam membantu rakyat menangani tekanan ekonomi.
Sehubungan itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata pemberian STR secara berkala setiap tiga bulan boleh dikaji semula kepada tempoh yang lebih kerap seperti bulanan atau dua minggu sekali agar sejajar dengan pola perbelanjaan isi rumah.
Beliau turut memberi contoh pelaksanaan pelbagai skim bantuan di India, Subhadra Yojana yang disesuaikan mengikut kumpulan penerima antaranya bayaran bulanan kepada warga emas dan pembayaran berkala kepada petani dan wanita mengikut skim negeri masing-masing.
“Kaedah ini dapat membantu rakyat mengurus kewangan harian dengan lebih teratur sekali gus mengelakkan kebergantungan terhadap pinjaman tidak terkawal…ia juga mampu mengekang kecenderungan berbelanja secara mendadak dalam tempoh tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mencadangkan senarai barangan dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disemak semula bagi memastikan keberkesanan bantuan dalam menangani kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Katanya, fokus bantuan perlu beralih kepada barangan keperluan harian yang sihat seperti ayam, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding makanan berproses yang tinggi kandungan garam dan gula.
Beliau berkata langkah itu dilihat penting dalam menjamin pembangunan kesihatan jangka panjang terutama dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar sebagai generasi masa depan negara.
“Program ini wajar diselelaraskan dengan Kementerian Kesihatan iaitu kempen pemakanan sihat agar bantuan bukan sahaja mengenyangkan tetapi menyihatkan.
“Ini penting bagi memastikan pembangunan kesihatan jangka masa panjang khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar menjadi masyarakat generasi masa depan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shahar berkata Malaysia perlu memanfaatkan kepesatan industri halal dunia dengan mengambil peranan sebagai kuasa pensijilan dan audit halal bertaraf antarabangsa, bukan sekadar sebagai pengeluar produk.
Justeru itu, beliau berkata langkah kerajaan dalam RMK13 untuk melonjakkan eksport halal sehingga RM80 bilion serta menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah strategi penting yang wajar disokong.
Katanya, pembangunan firma audit halal bertaraf antarabangsa menjadi langkah penting dalam memastikan piawaian pensijilan halal Malaysia diterima secara meluas di peringkat dunia.
“Penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia dan Pembangunan Perindustrian Halal merupakan langkah penting dalam membina rantaian nilai halal dari pengeluaran ke pasaran global.
“Hab pensijilan dan logistik halal di bandar strategik seperti Dubai, Tokyo dan London juga perlu diwujudkan sebagai pemangkin pengembangan pasaran global…potensi industri halal hari ini bukan lagi terhad kepada makanan, malah merangkumi pelancongan, kewangan Islam, kosmetik dan farmaseutikal,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL