Gagasan MADANI demi perkukuh jati diri rakyat

9 OGOS : Perdana Menteri menyifatkan gagasan MADANI yang digariskan ketika memegang tampuk pemerintahan adalah bagi memperkukuh jati diri rakyat di negara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia susulan sejarah yang menunjukkan ketika semua sistem runtuh, hanya pondok-pondok agama yang bertahan sebagai benteng.
“Ketika diminta berucap, saya singkap sejarah perjuangan Islam tatkala umat diserang penjajah sama ada di Tanah Melayu, Indonesia, India, Mesir dan seluruh dunia hingga sistem pemerintahan yang ada tunduk dan menyerah kepada kekuatan asing.
“Ketika itu sistem ekonomi dan pendidikan ditawan dan lebih mendalam lagi seperti disebut Sheikh Muhammad Al Ghazali sebagai Isti’mar Ruh al-Fikr, yakni penjajahan jiwa dan pemikiran.
“Namun dalam keadaan seluruh sistem robek dan runtuh, yang bertahan sebagai benteng akidah, ilmu dan roh perjuangan umat ketika itu hanyalah pesantren dan pondok-pondok. Itulah sejarah yang perlu kita insafi.
“Kerana itu setelah memegang tampuk pemerintahan, saya menggariskan gagasan MADANI. Di samping membina kestabilan, memperkukuh tatakelola dan menolak salah guna kuasa, gagasan ini melihat keperluan untuk memperbaharui sistem pendidikan bagi memperkukuh jati diri anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini selepas memenuhi jemputan Sheikh Wazir Al-Makki ke Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan bertemu guru-guru dan pelajar di Bachok, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata selepas bertemu dengan guru-guru pondok di Malaysia, Indonesia dan Pattani, beliau sedar bahawa benteng ilmu itu makin luntur kerana kekangan perkembangan dan perhatian kerajaan yang lebih tertumpu kepada sekolah arus perdana.
“Atas kesedaran itu, sebelum hadir ke Bachok saya telah meneliti keadaan beberapa pondok di sini yang terlalu daif. Maka saya meluluskan peruntukan lebih RM2.1 juta bagi baik pulih segera, yang akan dimulakan dalam beberapa minggu ini.
“Inilah sebahagian daripada usaha Negara MADANI, percubaan kita membangunkan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak, seperti digarap dalam karya Allahyarham Syeikh Jaafar Syeikh Idris.
“Ia belum sempurna, namun dengan bimbingan para guru serta teguran dan kritikan membina, Insya-Allah kita akan terus memperbaiki kekurangan ini demi kemaslahatan umat dan kemuliaan negara,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK