13 MEI : Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan petrol RON95 tanpa subsidi serta RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan penurunan itu antara 15 sen hingga 30 sen bagi setiap liter bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei 2026.
Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 turun 20 sen kepada RM4.70 seliter, RON95 pada kadar RM3.87 seliter dengan turun 15 sen sementara diesel di Semenanjung pada kadar RM4.87 seliter selepas turun 30 sen.
Menurut MoF, harga bahan api kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat di mana harga minyak mentah masih mencecah sekitar AS$100 setong berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik.
“Harga runcit bahan api turut dipengaruhi oleh lonjakan kos logistik dan insurans akibat peningkatan risiko di zon konflik.
“Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus mempengaruhi harga pasaran.
“Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
“Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MoF.