9 OGOS : Kerajaan MADANI tidak akan melindungi mana-mana pesalah termasuk pembunuh meski berstatus kenamaan.
Penegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan tumpuan yang diberikan kepada siasatan kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir di Sabah.
Dalam pada itu, Anwar berkata siasatan terhadap kes itu perlu dilakukan secara telus tanpa melindungi sesiapa.
“Anak kita di Sabah meninggal dunia ada kata jatuh, ada kata tolak, ada kata sebab buli. Kita tidak pandang ringan dan kita tidak mahu ia dijadikan bahan politik.
“Arahan kita jelas tiada tolak ansur, tidak kira anak siapa sekalipun, anak menteri atau sesiapa sahaja, saya tidak peduli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, hari ini.
Selain itu, Anwar memaklumkan sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan dijalankan seadilnya.
“Saya tanya, apakah ada kesilapan? Kalau ada, ambil tindakan. Ini satu kematian, tidak kiralah anak orang miskin atau anak kaya, di gunung, di darat atau di laut, kita ambil tahu kerana siasatan mesti dijalankan secara telus. Saya sedih kerana ini mungkin anak atau cucu saya.
“Oleh kerana terdapat syak wasangka, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan supaya kubur digali semula untuk bedah siasat kedua,” katanya.
Tambahnya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar sendiri sudah diarahkan ke Sabah bagi memantau sendiri siasatan agar tidak timbul persepsi pihak tertentu dilindungi.
“Ini kerajaan MADANI, kita tidak akan melindungi pembunuh,” katanya.
Semalam, AGC mengeluarkan arahan untuk menggali semula kubur susulan terdapat keperluan untuk menjalankan prosedur bedah siasat ke atas jenazah pelajar Tingkatan 1 itu yang sebelum ini dikebumikan tanpa sebarang pemeriksaan forensik.
Pada 16 Julai lalu, Allahyarham Zara Qairina ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga.
Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia jam 11 pagi di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Kematiannya itu dikaitkan dengan perlakuan buli namun keluarga mangsa mendakwa siasatan awal yang dijalankan tidak lengkap.