10 OGOS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan di media sosial berkait kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Kandungan tersebut dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
“Bagi membantu siasatan, individu terbabit sudah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos 2025.
“Satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM sudah disita untuk membantu siasatan,” kata MCMC dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan,” kata suruhanjaya itu.