14 OGOS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penganjuran perhimpunan di Bertam, Kepala Batas dipercayai berkait isu pengibaran jalur gemilang terbalik yang dirancang akan berlangsung hari ini dibatalkan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pembatalan itu demi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara selain mengelakkan sebarang bentuk pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.
“PDRM telah menjalankan siasatan berkaitan isu pengibatan Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial.
“Sebanyak 38 laporan diterima diseluruh negara melibatkan 17 di Pulau Pinang dan 21 di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Khalid, siasatan itu merangkumi tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman berkenaan di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11 Ogos dan dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan.
“PDRM sentiasa komited untuk melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat,” katanya.
Justeru itu, Mohd Khalid menasihasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan, sebaliknya menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis.
Terdahulu, Pemuda UMNO Pulau Pinang dilaporkan akan mengadakan himpunan itu di Bertam hari ini sebagai maklum balas kepada kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Ketuanya, Mohd Hilmi Elias memaklumkan acara tersebut dijadualkan pada jam 5.30 petang ini akan turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Katanya, ia sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Terdahulu, tular klip video seorang lelaki mengibar Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai.
Video itu mencetus kemarahan pelbagai pihak dan lelaki tersebut dicekup polis untuk siasatan.