19 OGOS : Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan beberapa suspek yang akan dituduh tiada kaitan dengan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13.
Melalui satu kenyataan, AGC menjelaskan pertuduhan terhaadp suspek-suspek berkenaan melibatkan perbuatan buli sahaja.
“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina,” kata AGC.
Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan peguam lantikan keluarga Allahyarham, AGC menyifatkan kenyataan itu bersifat spekulatif.
“Kenyataan peguam di Perenggan 4 kepada Kenyataan Media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Oleh yang demikian, jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan,” kata jabatan itu lagi.
AGC merujuk Kenyataan Media bertarikh 19 Ogos 2025 yang dikeluarkan peguam lantikan ibu Zara, Noraida Lamat mengenai permohonan untuk menangguhkan pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta cadangan pertuduhan pihak peguam di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, AGC menegaskan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.