MCMC keluar 279 arahan tangani kualiti perkhidmatan mudah alih
KENYATAAN MEDIA
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 279 Arahan Suruhanjaya kepada pelbagai penyedia perkhidmatan mudah alih di seluruh negara.
Arahan tersebut selaras dengan Penentuan Suruhanjaya No. 2 Tahun 2023 bagi menangani ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQOS) untuk perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayar.
Daripada jumlah berkenaan, 154 arahan dikeluarkan kepada YTL Communications, diikuti oleh Celcom Digi (50), TM Technology Services (38), U Mobile (27) dan Maxis (10).
Arahan didaftarkan susulan pemantauan berterusan oleh MCMC yang mendapati terdapat penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian minimum ditetapkan.
Ketidakpatuhan dikesan di pelbagai lokasi, termasuk kawasan bandar dan luar bandar, yang memberikan kesan langsung terhadap kualiti pengalaman pengguna.
Antara aspek yang dinilai dalam MSQOS, termasuk:
•Kelajuan muat turun (download speed)
•Kependaman rangkaian (network latency)
•Kehilangan paket (packet loss)
• Ketersediaan perkhidmatan (service availability)
• Masa capaian laman web (web browsing session time)
• Masa capaian penstriman video (video streaming access time)
Penyedia perkhidmatan yang gagal mengambil tindakan penambahbaikan dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan penalti kewangan hingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan, seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 105(5) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta A1743).
Sejak tahun 2022, sebanyak 984 Arahan Suruhanjaya telah didaftarkan: • 229 arahan pada tahun 2022
• 208 arahan pada tahun 2023
• Tiada arahan pada tahun 2024 (kelulusan hanya diperoleh pada awal 2025)
• 547 arahan pada tahun 2025
Maklumat lanjut mengenai MSQOS dan senarai penuh Arahan Suruhanjaya yang telah didaftarkan, sila layari laman sesawang rasmi MCMC menerusi www.mcmc.gov.my.
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (MCMC)