25 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menepis dakwaan yang dilemparkan pembangkang kononnya hutang negara bertambah di bawah pentadbirannya.
Penafian itu dibuat ketika beliau membentang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.
“Sesetengah rakan-rakan saya sebelah sana dia kata hutang bertambah… tak benar! Hutang baharu kerajaan itu kurang, saya dah baca banyak kali dah iaitu hutang daripada RM100 bilion turun RM90 turun RM80 turun RM70 bilion itu yang kita lakukan.
“Tetapi hutang keseluruhan dengan bunga yang bukan kita pinjam, diwarisi itu bertambah sehingga kita boleh turun lagi jumlah hutang baharu, baru ia berkembang. Jadi janganlah kata kerajaan sekarang hutang baharu, tidak betul,” katanya.
Menurutnya, kerajaan berjaya menurunkan defisit fiskal daripada 5.6 peratus kepada 4.1 peratus dan diunjurkan susut kepada 3.8 peratus, tahun hadapan.
Katanya, kerajaan mensasarkan untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3 peratus serta mengekalkan paras hutang di bawah 60 peratus dalam tempoh lima tahun mendatang
Selain itu katanya, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita juga disasar meningkat kepada RM77,200 pada tahun 2030 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.
Anwar berkata, kerajaan turut bercadang untuk mengawal jaminan pinjaman kepada syarikat milik kerajaan dengan lebih ketat dan melaksanakan rasionalisasi subsidi secara bersasar dan berperingkat.