‘Saya tidak terima rakyat Malaysia tidak fasih bahasa Melayu’
9 SEPT : Rakyat Malaysia sewajarnya perlu fasih berbahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak dapat menerima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Namun beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.
“Kita mesti tonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya tidak terima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu.
“Tetapi pada masa sama, tahap penguasaan bahasa Inggeris terlalu kritikal, sangat penting untuk negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan peningkatan tahap penguasaan bahasa Inggeris terutama di peringkat universiti tanpa menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan.
Namun pada masa sama, beliau berkata bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan Perancis tidak boleh dipinggirkan.
“Kalau kita benar percaya bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, maka tidak ada alasan untuk meminggirkan usaha meningkatkan penguasaan bahasa lain. Itu sepatutnya jadi sikap kita,” katanya.
Beliau sempat mengingatkan rakyat agar menolak politik perkauman sempit yang sering dimainkan pihak tertentu.
“Kita tidak boleh benarkan minoriti yang terdesak menggunakan isu perkauman atau sentimen agama untuk menentukan hala tuju negara.
“Malaysia hanya akan berjaya jika setiap warganya iaitu Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan lain-lain merasakan mereka dilindungi dan dihargai,” katanya.
Tambahnya, kejayaan Malaysia hanya boleh dicapai dengan dasar keterangkuman yang melibatkan semua kaum dan bukan sekadar kaum majoriti sahaja.
