16 SEPT : Malaysia mahu mencapai kemajuan ekonomi yang selari dengan ketinggian budaya dan budi pekerti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemajuan yang bakal dicapai Malaysia kelak tidak akan meninggalkan nilai kemanusiaan.
“Kita tidak mahu maju seperti mana negara barat maju. Kita mahu maju ekonomi tetapi tinggi budaya dan budi pekerti.
“Kita mahu mencatat kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan digital serta transisi tenaga tapi tidak tinggalkan nilai kemanusiaan – karamah insaniah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth, malam ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan berhasrat untuk membangunkan semua negeri dengan keupayaan masing-masing seperti yang dicapai di Johor dan Pulau Pinang.
Menyentuh soal kehadirannya ke Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Anwar berkata beliau menyaksikan bagaimana kekuatan dunia Islam dan Arab sukar untuk menyaingi kekuatan Israel.
“Pagi tadi saya baru balik dari Doha sidang darurat negara-negara islam dan arab setelah Israel menyerang Doha, Qatar dan terus-menerus menghancurkan Gaza, Palestin. apa yang dapat saya saksikan? seluruh kekuatan dunia Islam dan Arab sukar menyaingi kekuatan Israel (yang) tentunya disokong Amerika Syarikat.
“Apa pengajarannya? Negara yang merdeka dan berdaulat mesti bersatu, mesti meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum dan agama serta wilayah, mesti menentukan bahawa sikap pelampau sama ada pada kaum atau fanatik agama atau suku kaum dan wilayah sempit mesti dibanteras untuk menjamin kelangsungan hidup negara yang berdaulat dan merdeka,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata cabaran kepada pimpinan negara untuk memastikan ekonomi Malaysia melonjak dengan tatakelola yang baik.
“…supaya apa dilakukan penjajah yang menyebabkan negara miskin, negara diperkotak-katikkan (negara) dapat diselamatkan dengan agenda perubahan ekonomi yang lebih lancar dan lebih gagah…yang harus menjamin keselesaan bagi semua,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK