Hasil penyasaran semula subsidi dipulangkan kepada rakyat

22 SEPT : Rakyat Malaysia akan menikmati pelbagai inisiatif hasil daripada pelaksanaan penyasaran semula subsidi, sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memulangkan kembali hasil itu dengan menambah baik infrastruktur termasuk membaik pulih kerosakan akibat bencana.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, melalui penyasaran subsidi diesel, kerajaan dapat melaksanakan pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada rakyat.
“Kita mampu memberikan hasil kembali kepada rakyat seperti penghargaan SARA. Walaupun RM100 implikasi kewangan kepada kerajaan itu RM2 bilion, ini dapat dilakukan kerana penyasaran subsidi minyak diesel dahulu.
“Sekarang penyasaran subsidi (RON 95) naik sedikit untuk bukan warganegara, (tetapi) turun bagi rakyat dan tentunya hasil pulangan itu akan kembali kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Menyentuh soal keadaan banjir yang melanda Sabah, Anwar yang meninjau sendiri keadaan di sana berkata beliau dapat menyaksikan sendiri kerosakan akibat bencana itu.
“Cerun jalan, klinik dan sekolah semua harus diperbaiki. Jadi ada beban baharu yang kita harus manfaatkan daripada dana ini untuk bantu rakyat terjejas.
“Tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu akan menikmati harga petrol RON95 RM1.99 seliter sehingga 300 liter sebulan mulai 30 September ini.