KENYATAAN MEDIA
BARISAN NASIONAL
1. Barisan Nasional memandang serius perkembangan berhubung tindakan menangguhkan pelaksanaan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan keputusan membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya secara tahanan di rumah.
2. Barisan Nasional berpandangan bahawa perkara ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai persoalan pentadbiran atau perbezaan tafsiran undang-undang semata-mata. Ia menyentuh persoalan yang jauh lebih besar, iaitu penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, kewibawaan titah Yang di-Pertuan Agong serta prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara.
3. Kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan hari ini, 7 November 2026, hendaklah diberikan perhatian dan diambil dengan penuh keseriusan. Penegasan Istana Negara bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan, malah semua syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, tidak seharusnya dipandang ringan.
4. Lebih penting, penegasan Istana Negara bahawa: “Sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong” merupakan suatu peringatan yang amat serius kepada semua pihak, khususnya pihak-pihak yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan serta titah Baginda.
5. Sehubungan itu, Barisan Nasional menggesa pihak Kerajaan, khususnya pihak berkuasa yang bertanggungjawab, supaya mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Istana Negara dan memastikan titah perintah berkenaan
dilaksanakan dengan segera, tertib dan selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
DATUK DR ZAMBRY ABD KADIR
SETIAUSAHA AGUNG BARISAN NASIONAL