7 NOV : Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diharap dapat dipertahankan selama-lamanya, bukan sekadar untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Harapan itu disuarakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyifatkan kesepakatan antara UMNO dan PAS sebagai usaha menyatukan ummah yang perlu diteruskan demi kepentingan bersama.
Beliau yang juga Pengerusi BN Johor berkata, gabungan BN dan PN berpotensi menjadi kekuatan besar untuk memimpin negara serta negeri dengan lebih baik, tanpa mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.
“Saya doakan gabungan ini kekal selama-lamanya. Kesepakatan ini perlu kita teruskan. Perpaduan umat ini satu ibadah.
“Kita kena terus bersatu. Bukan saja untuk PRN Melaka. Bukan saja untuk pilihan raya umum, insya-Allah selama-lamanya kita bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, Serkam pada Sabtu.
Onn Hafiz turut menyeru pimpinan PAS dan UMNO supaya menyampaikan hasrat berkenaan kepada pucuk pimpinan masing-masing bagi memastikan kerjasama itu dapat diperkukuh.
Katanya, gabungan berkenaan perlu dibina atas niat yang baik dan kesepakatan demi membawa manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kekuatan kepimpinan Islam tidak akan menyebabkan kaum dan agama lain dipinggirkan.
“YB Ah Soon (Ling Tian Soon) jangan takut. Kita pemimpin-pemimpin Islam di Malaysia. Kuat macam mana pun tidak akan sekali-kali ketepikan kawan-kawan lain,” katanya.
Turut hadir pada program itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sedik dan calon BN bagi DUN Serkam, Datuk Azman Abdullah.