23 SEPT : Israel menuduh kumpulan Hamas yang mengatur gerakan pelayaran flotilla ke Gaza.
Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan menegaskan rejim itu tidak akan membenarkan misi bantuan yang menuju Gaza untuk memecahkan sekatan laut yang dikenakan ke atas wilayah berkenaan.
Rejim itu menyifatkan Gaza sebagai zon pertempuran aktif.
“Israel tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki zon pertempuran aktif dan tidak akan membenarkan pelanggaran sekatan laut yang sah,” menurut kementerian itu pada Isnin.
Namun Israel memaklumkan pihaknya bersedia membenarkan kapal-kapal itu berlabuh di Pelabuhan Ashkelon dan bantuan boleh dipunggah serta dihantar ke Gaza melalui saluran yang diselaraskan.
“Jika hasrat sebenar peserta flotila adalah menyalurkan bantuan kemanusiaan, Israel menyeru mereka supaya berlabuh di Ashkelon. Bantuan itu akan dipindahkan segera ke Gaza dengan cara yang teratur,” menurut kenyataan itu lagi.
Misi Global Sumud Flotilla berlayar dari Tunisia sedang menuju ke Greece sebelum memasuki perairan Gaza.