25 SEPT : Selepas Itali, Sepanyol turut mengumumkan menghantar kapal perang bagi melindungi Global Sumud Flotila (GSF) yang membawa bantuan ke Gaza susulan serangan dron.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata kapal itu akan dihantar hari ini dari Cartagena.
“Kerajaan Sepanyol menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan hak rakyat kami untuk belayar di Laut Mediterranean dalam keadaan selamat juga mesti dipelihara.
“Esok kami akan menghantar sebuah kapal tentera laut dari Cartagena dengan semua sumber yang diperlukan sekiranya perlu membantu flotila itu dan melaksanakan operasi menyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Rabu.
Semalam, misi GSF itu yang menyaksikan pelayaran sekitar 50 buah bot menuju ke Gaza diancam dengan leetupan dan gangguan komunikasi ketika berada di perairan Greece.
Terdahulu, Itali mengumumkan kerajaannya menghantar sebuah frigat tentera laut untuk membantu GSF yang diserang dron.
Menteri Pertahanan, Guido Crosetto memaklumkan kebenaran sudah diberi untuk tindakan segera dengan mengarahkan frigat pelbagai guna Fasan yang sedang belayar di utara Crete dalam operasi Mare Sicuro untuk memberi bantuan kepada rakyat Itali yang berada dalam flotila itu.
Namun Itali menggesa flotilla antarabangsa itu menyerahkan bekalan bantuan dibawa untuk Gaza dan dibenarkan untuk diagihkan oleh Gereja Katolik tempatan bagi mengelakkan risiko serangan dron.
Di Itali, protes besar-besaran diadakan di lebih 70 bandar malah pada 22 September lalu, pekerja pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perkhidmatan awam dan pelabuhan melakukan mogok selama 24 jam.
Ia memberi kesan kepada sistem pengangkutan, lebuh raya, pendidikan serta operasi di pelabuhan.