Hebahan bantuan perlu lebih agresif agar peniaga kecil tidak tercicir
14 MEI : Pembiayaan mikro yang disediakan Kerajaan MADANI tidak akan mencapai matlamat jika masih ramai peniaga dan penjaja kecil tidak menerima manfaatnya.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masih ramai yang tidak mengetahui kemudahan kerajaan itu.
“Kerajaan MADANI menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun ini yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro. Kemudahan ini melibatkan pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar bagi skim tertentu serendah tiga peratus setahun.
“Saya tegaskan bahawa kemudahan pembiayaan ini tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya masih ramai peniaga dan penjaja kecil khususnya di pasar, pasar malam dan kawasan tumpuan rakyat tidak menerima manfaatnya.
“Ketika berkunjung ke negeri-negeri, saya mendengar sendiri keluhan peniaga kecil yang tidak mengetahui mengenai bantuan dan kemudahan pembiayaan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran selepas mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pertemuan itu katanya bagi meneliti usaha memperluas akses pembiayaan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata masih ada peniaga yang bergelut sendirian kerana tidak tahu saluran yang boleh membantu mereka mendapatkan modal dan sokongan.
Justeru itu, beliau mengarahkan semua agensi dan institusi pembiayaan mikro untuk memperhebat gerak kerja turun padang dan mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja, usahawan mikro serta golongan yang terhimpit akibat kekangan modal.
Selain itu katanya, hebahan dan penyampaian maklumat mesti dilaksanakan secara lebih agresif dan menyeluruh supaya tiada yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan.
“Proses permohonan juga mesti dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan kelulusan diberikan secara adil serta munasabah agar kemudahan ini benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Insya-Allah, semoga kemudahan ini dapat membantu lebih ramai peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kontraktor kecil, pesawah padi, golongan asnaf dan usahawan mikro untuk bangkit, berkembang serta membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
