14 MEI : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan menteri rejim zionis Israel yang menceroboh kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa dengan alasan menyambut hari pendudukan Israel di Baitulmaqdis Timur.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan tindakan provokatif itu merupakan penghinaan berat terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa serta mencerminkan pelanggaran berterusan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan sensitiviti agama.
“Malaysia menyifatkan insiden ini sebagai provokasi terancang dan sistematik oleh Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki bertujuan untuk mengukuhkan pendudukan haram serta mengubah status quo Masjid Al-Aqsa.
“Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan yang secara jelas menolak sebarang percubaan untuk mengubah status, perundangan mahupun komposisi demografi Baitulmaqdis termasuk Baitulmaqdis Timur yang diduduki,” menurut kenyataan kementerian itu, hari ini.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata sebagai kuasa pendudukan, Israel memikul tanggungjawab sepenuhnya di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi tapak-tapak keagamaan dan mengelakkan sebarang tindakan yang mencetuskan ketegangan.
Namun tegasnya, pencerobohan yang dilakukan secara berulang-ulang dan sengaja itu jelas menunjukkan peningkatan konflik yang berisiko mengakibatkan ketidakstabilan lebih luas dalam situasi serantau yang sedia rapuh.
Justeru itu, kementerian itu berkata Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan Israel memikul tanggungjawab sepenuhnya serta menghentikan segala bentuk provokasi dengan serta-merta.
Dalam pada itu, Malaysia menegaskan semula solidariti terhadap rakyat Palestin serta komitmen untuk melindungi warisan keagamaan, budaya, serta nasional mereka.
“Malaysia kekal dengan pendirian teguh menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berteraskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu lagi.