PM bawa pelan damai Gaza dirangka AS ke Kabinet

30 SEPT : Kerajaan akan membentang pelan damai terbaharu yang dirangka Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang di Gaza kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak melihat kerangka tersebut akan memenuhi hasrat Malaysia.
“Saya tidak fikir kerangka persetujuan itu akan memenuhi hasrat kita (Malaysia), terutama dalam mempertahankan prinsip keadilan bagi rakyat Palestin.
“Tetapi sebagai suatu permulaan, ia sangat bermakna iaitu hentikan keganasan dan penjajahan terhadap bumi Palestin dan bantuan kemanusiaan yang sangat mendesak mesti disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang, hari ini.
Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelan 20 perkara dalam usaha menamatkan perang Israel di Gaza.
Trump mengumumkan pelan itu ketika sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Pelan itu merangkumi pembebasan tawanan Israel dengan pertukaran sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin dan tidak berunsur politik untuk mentadbir Gaza.
Mengulas lanjut, Anwar berkata konflik, kezaliman, pembantaian, pembunuhan, penindasan dan pemusnahan yang berlaku di Gaza pada masa ini mencelikkan dunia akan erti keadilan kemanusiaan.
Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan semangat yang ditonjolkan 34 rakyat Malaysia yang menyertai Misi Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Katanya, komitmen dan semangat tinggi ditunjukkan delegasi Malaysia dalam misi berkenaan wajar dijadikan contoh dan akan direkodkan sebagai detik penting dalam sejarah perjuangan menegakkan keadilan buat rakyat Palestin.
“Kita amat kagum dengan semangat anda semua. Insya-Allah, kerajaan akan terus membantu serta memastikan kebajikan ahli keluarga semua delegasi terbela.
“Penyertaan ini memberi suntikan semangat luar biasa dan bakal tercatat sebagai sejarah besar dalam usaha menegakkan keadilan serta membela nasib rakyat Palestin,” katanya ketika membuat panggilan video bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi itu.
