1 OKT : Sebahagian operasi besar kerajaan Amerika Syarikat (AS) dihentikan selepas beberapa jam Senat menolak untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) Pembiayaan bagi perbelanjaan jangka pendek.
Perbelanjaan itu bagi memastikan operasi kerajaan berterusan sehingga 21 November.
Meski Republikan, parti pimpinan Donald Trump memegang majoriti di kedua-dua dewan Kongres namun undang-undang AS menetapkan 60 daripada 100 senator perlu menyokong.
Trump memerlukan sekurang-kurangnya tujuh Demokrat untuk meluluskan RUU itu.
Presiden AS itu memberi amaran, penutupan itu boleh membuka laluan kepada tindakan tidak dapat dipulihkan, termasuk menutup lebih banyak pekerjaan dan program secara kekal.
Perbalahan politik itu berisiko menyebabkan ribuan kakitangan Persekutuan kehilangan pekerjaan.
Dolar AS pula berlegar menghampiri paras terendah dalam tempoh seminggu berbanding mata wang utama lain.
Ia juga melambatkan perjalanan udara, menghentikan penyelidikan saintifik, menangguhkan gaji tentera AS dan menyebabkan 750,000 pekerja Persekutuan terpaksa bercuti tanpa gaji dengan kerugian harian dianggarkan AS$400 juta (RM 1.6 bilion).
Demokrat menentang undang-undang itu susulan keengganan Republikan melampirkan lanjutan manfaat kesihatan untuk jutaan rakyat AS yang akan tamat tempoh akhir tahun ini.
Pertikaian utama mengenai peruntukan AS$1.7 trilion (RM7.1 trilion) untuk operasi agensi yang merupakan sebahagian kecil daripada jumlah bajet kerajaan AS$7 trilion (RM 29 trilion).