1 OKT : Kuota siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 dalam insiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang ditetapkan untuk rakyat Malaysia akan diperbaharui pada setiap awal bulan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Hari ini 1 Oktober, maka jumlah kuota dikembalikan kepada 300 liter.
“Jadi sesiapa yang sudah membeli RON95 menggunakan BUDI95 semalam, hari ini kuota kembali kepada jumlah 300 liter,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi yang berkuat kuasa 30 September.
Rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad masing-masing.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkat kerajaan dan syarikat pengendali stesen minyak akan mengeluarkan kenyataan sekiranya terdapat sebarang maklumat tidak betul atau kekeliruan mengenai BUDI95 dari semasa ke semasa.
Menurutnya, Anwar juga mengarahkan Kementerian Pengangkutan agar meneliti beberapa perkara berhubung BUDI95 dengan kadar segera termasuk tambahan kuota kepada pemandu e-hailing, p-hailing, teksi serta bot nelayan.
“Selain itu, kerajaan juga akan mengumumkan mekanisme khusus kepada pemandu ataupun rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu Singapura.
“…untuk membantu mereka mendapat bantuan subsidi BUDI95,” katanya.