2 OKT : Keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak bawah 13 tahun semakin membimbangkan kerana mereka terdedah kepada risiko seperti buli siber, pemanipulasian (grooming) serta pendedahan maklumat peribadi tanpa kawalan.
Penggunaan media sosial pada usia terlalu muda juga dikhuatiri menjejaskan perkembangan psikologi, emosi dan sosial mereka sekali gus menuntut kerjasama kerajaan, platform digital serta ibu bapa bagi memastikan perlindungan lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata ibu bapa tetap menjadi benteng utama dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di dunia digital walaupun kerajaan dan platform media sosial turut memainkan peranan.
Sehubungan itu, Mediha berkata setiap platform perlu mengamalkan konsep ‘safety by design’ dengan membina ciri perlindungan sejak awal, selain menyediakan kawalan ibu bapa ‘parental controls’ yang lebih mudah dan berkesan untuk digunakan oleh ibu bapa serta penjaga.

“Kanak-kanak masih bergantung kepada ibu bapa dan penjaga untuk mendapatkan akses kepada peranti dan kandungan di dalamnya…kita tidak boleh membiarkan mereka mengharungi dunia digital tanpa kawalan dan ilmu yang tidak mencukupi kerana kesannya boleh melibatkan keselamatan dan nyawa mereka.
“Mereka juga lebih mudah terpengaruh dengan media sosial kerana algoritma direka untuk menarik perhatian mereka dalam jangka masa lama dan mereka masih belum matang untuk menyedari kesan dan risiko penggunaan platform digital.
“Masalah ketagihan media sosial ini berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia…bagi menangani isu ini, kerajaan, platform dan pihak berkuasa telah melaksanakan langkah seperti Akta Keselamatan Dalam Talian dan kempen kesedaran seperti Kempen Internet Selamat yang diterajui MCMC,” katanya kepada BBCPORTAL.
Dalam pada itu, Mediha menyokong saranan kerajaan yang meminta penyedia platform media sosial melakukan pengesahan elektronik ‘Kenali Pelanggan Anda (eKYC)’ kerana ia dilihat sebagai langkah penting dalam melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan berbahaya serta memastikan akses mereka ke platform digital lebih terkawal dan selamat.
Namun katanya, keberkesanan langkah itu bergantung kepada kaedah pelaksanaan di mana kebergantungan kepada pengisytiharan kendiri bukan sahaja tidak mencukupi, malah menimbulkan isu privasi serta implikasi lain yang wajar diperhalusi.
“Verifikasi umur memang langkah yang menarik tetapi keberkesanannya bergantung pada cara ia dilaksanakan…ada juga yang mempersoalkan kewajaran verifikasi umur kerana ia menyentuh tentang privasi dan beberapa kesan lain yang masih perlu diteliti.
“Trend global kini bergerak ke arah ‘age assurance’ dan ‘risk-based verification’ iaitu bukan sekadar menghadkan umur, tetapi menilai risiko setiap fungsi dalam platform…semakin tinggi risiko sesuatu ciri seperti sembang atau siaran langsung, semakin ketat kawalan umur yang perlu dikenakan.
“Namun, segala usaha untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada kandungan mudarat perlulah disokong dan apa yang penting adalah perlindungan kanak-kanak tidak boleh dikompromi,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL