2 OKT : Perdana Menteri Malaysia berhubung dengan pemimpin beberapa negara bagi meminta campur tangan dalam usaha pembebasan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sudah menghubungi Qatar, Turkiye, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.
“Sebaik sahaja saya memperoleh maklumat 23 anak Malaysia di atas kapal Sumud flotilla, saya terus menghubungi rakan sejawat saya di Qatar dan Turkiye Presiden (Recep Tayyip) Erdogan…saya sedang menghubungi Pejabat Presiden Mesir, Abdel Fatah El-Sisi.
“Kami, saya bersama dengan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) juga menghubungi Setiausaha Negara (Marco) Rubio dari AS dan beberapa rakan lain meminta mereka campur tangan untuk memastikan pembebasan semua yang ditahan rejim Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Menurut Anwar, pihak kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pembebasan segera dan pada masa yang sama menjaga kebajikan mereka yang sedang menderita di Gaza.
“Apa yang didakwa kesalahan mereka (peserta misi) adalah kerana keprihatinan atas prinsip kemanusiaan, membantu yang lemah, yang kelaparan, yang sakit termasuk dalam kalangan wanita dan anak-anak.
“Kalau itu tidak dapat dilakukan, nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali. Saya mendoakan agar kezaliman rejim Israel ini dihentikan dan rakan-rakan kita dibebaskan serta saluran bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin dapat disampaikan dalam keadaan segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan sekeras-kerasnya bahawa kekejaman dan tindakan pencerobohan yang dilakukan rejim Israel mesti dihentikan serta-merta.
“Kita menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada saudara-saudara kita di Gaza dengan pantas dan tanpa sebarang halangan,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK