22 OKT : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disahkan bakal tiba di Malaysia pada Ahad ini jika tiada sebarang perubahan.
Kehadiran julung kali Trump ke ibu negara adalah bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung hujung minggu ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat jemaah menteri, Jumaat lalu.
“Setakat ini disahkan, Donald Trump akan tiba di Malaysia pada 26 Oktober.
“Kementerian Luar Negeri akan maklumkan jika terdapat sebarang perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan sidang kemuncak itu di Pusat Media Antarabangsa dan Pusat Penyiaran Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Sebelum ini, Trump mengesahkan akan melawat Malaysia dan Jepun sebelum ke Korea Selatan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini akan menghimpunkan pemimpin tertinggi dari 10 negara anggota serta rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun dan India.