23 OKT : Perdana Menteri India, Narendra Modi akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung mulai Ahad ini secara dalam talian.
Perkara itu dimaklumkan Modi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui perbualan telefon, malam tadi.
Menurut Anwar, kesempatan berbual melalui telefon itu turut menyentuh soal usaha memperkukuh hubungan dua hala.
“Malam tadi saya menerima panggilan telefon dari rakan sejawat Perdana Menteri India Narendra Modi bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.
“Kami turut menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
“Beliau memaklumkan akan menghadiri secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika itu.
“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, India kekal sebagai rakan penting Malaysia di lapangan perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama erat di sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau.
“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia-India dan meningkatkan lagi kerjasama ASEAN-India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur,” katanya.