Pengerusi ASEAN: Malaysia catat dua sejarah baharu
27 OKT : Kepengerusian ASEAN tahun ini mencatat dua sejarah baharu apabila Timor-Leste diiktiraf sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11 dan pemetraian Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dengan Kemboja, semalam.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan perkara itu melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dasarnya pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menegaskan Malaysia memimpin ASEAN untuk kekal bersatu, relevan dan berpaksikan rakyat.
“Kita memasuki hari baru untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di mana Alhamdulillah, semalam, hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan berjalan dengan lancar dan mencatat detik bersejarah buat Malaysia dan ASEAN,” katanya.
Menurut Tunku Nashrul, penyertaan Timor-Leste ini menujukkan lahirnya lembaran baharu sekali gus melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.
“Penyertaan rasmi Timor-Leste ini bukan sekadar simbol diplomasi tetapi hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong penyertaan negara tersebut ke dalam ASEAN melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti,” katanya.

Sementara perjanjian yang dimetrai antara Thailand dan Kemboja itu katanya, menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara.
“Semalam juga mencatat sebuah lagi sejarah apabila Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja berjaya ditandatangani dengan disaksikan oleh Perdana Menteri dan Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump.
“Perjanjian ini sebuah kejayaan yang berakar daripada rundingan damai dimulakan Perdana Menteri pada Julai lalu.
“Langkah ini menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan dan membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan lima persidangan termasuk Sidang Kemuncak Asean ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3 serta Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 yang dijalankan secara maya.
Menurut Tunku Nashrul, sidang-sidang itu berjaya menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama strategik ASEAN bersama rakan-rakan strategik atau rakan dialog, memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mampan sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap yang lebih berpengaruh di pentas global.
“Insya-Allah, dengan momentum yang telah dibina Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan, memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang membawa manfaat kepada seluruh rantau.
“Semoga perjalanan kesemua sidang pada hari ini berjalan lancar dan membuahkan hasil yang penuh makna, Insya-Allah,” katanya.
Katanya lagi, persidangan hari ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan.
“Ditegaskan bahawa ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik.
“Perdana Menteri juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan pimpinan lain dan mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan penganjuran Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog,” katanya.
Beberapa persidangan dijadualkan hari ini iaitu Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28, Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15.