30 OKT : Malaysia menegaskan kepada Amerika Syarikat (AS) krisis di Gaza, Palestin tidak akan selesai hanya dengan gencatan senjata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian Malaysia yang mendesak penyelesaian menyeluruh itu disuarakan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam setiap pertemuan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, baru-baru ini.
“Antara perkara pokok (dibincang dengan Trump) adalah soal Gaza. Saya beritahu Presiden, saya jumpa pemimpin Hamas dan dia agak sedikit terkejut dan tanya kenapa.
“Saya jelaskan dan tak pernah guna istilah ’20 point ceasefire” (20 Perkara Pelan Damai), tapi saya sebut ‘comprehensive settlement’.
“Ini kerana istilah ini yang disepakati, tak selesai hanya dengan hentikan serangan tanpa iktiraf hak mutlak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan manfaat diperoleh hasil pertemuan dengan Trump selain aspek perdagangan.