MA63: Kerajaan naikkan bayaran interim Sabah kepada RM1.5 bilion
30 MEI : Kerajaan Persekutuan akan menaikkan bayaran khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih dimuktamadkan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan pemberian itu merupakan langkah sementara sehingga penyelesaian dicapai.
“Kerajaan MADANI menetapkan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah adalah dasar yang mesti dilaksanakan.
“Tiada lagi perbahasan mengenai sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak. Sebaliknya yang sedang diperincikan ialah mekanisme serta kaedah pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak melengah-lengahkan tuntutan MA63 itu dan ketika ini rundingan masih berjalan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap perkara diteliti dengan terperinci bagi memastikan keputusan dibuat dengan bertanggungjawab.
“Kerajaan tidak lagi boleh menggunakan alasan berkaitan kekangan kewangan untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah.
“Keputusan sudah dibuat dan apa yang tinggal hanyalah memuktamadkan formula pelaksanaannya,” katanya.
Anwar berkata, bayaran interim itu bukan penyelesaian akhir, namun ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab kepada Sabah sementara proses rundingan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Beliau turut menolak dakwaan Sabah dianaktirikan Kerajaan Persekutuan kerana peruntukan pembangunan dan perbelanjaan disalurkan secara telus.
Katanya, tahun lalu hasil kutipan dari Sabah dianggarkan sekitar RM10 bilion namun peruntukan pembangunan dan perbelanjaan yang disalurkan Persekutuan kepada negeri itu mencecah RM17 bilion.
“Ini tidak bermaksud hak Sabah boleh dinafikan, tetapi rakyat perlu melihat fakta secara menyeluruh.
“Kerajaan tetap komited melaksanakan hak 40 peratus, namun pada masa sama pelbagai bantuan, subsidi dan projek pembangunan terus disalurkan demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.
