1 NOV : Mana-mana pemilik pemandu kenderaan asing termasuk dari Singapura tidak dibenarkan keluar dari Malaysia sekiranya gagal memiliki dan mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) berkuat kuasa 15 November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan tegas termasuk saman itu akan dilaksanakan selepas tempoh kelonggaran tamat sejak pelaksanaan penggunaan VEP di pintu masuk Malaysia-Singapura, 1 Julai lalu.
“Mana-mana kenderaan persendirian individu atau syarikat yang tiada VEP, VEP tamat tempoh atau berstatus pradaftar akan dikenakan saman.
“Mereka wajib menyelesaikan saman serta-merta dan jika masih tiada VEP, mereka tidak akan dibenarkan keluar dari negara ini.
“Bayaran saman ini boleh dibuat di semua kaunter JPJ, kaunter bergerak, pusat pendaftaran VEP di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar, atau secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di Susur Keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Cagar pada Jumaat.
Menurutnya, setakat bulan lalu, 303,183 tag RFID bagi kenderaan persendirian individu serta 31,643 bagi kenderaan syarikat sudah dipasang.
Dalam pada itu, pihaknya juga sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 55,486 kenderaan dan mengeluarkan kompaun sebanyak 4,028 terhadap kenderaan yang tiada VEP.
Ia melibatkan kutipan saman berjumlah RM1.2 juta dan pada masa sama, JPJ juga mengeluarkan sebanyak 1,355 notis peringatan kepada pemilik kenderaan syarikat yang masih berstatus pradaftar.
Justeru itu, Aedy Fadly mengingatkan pemilik kenderaan agar memastikan memiliki VEP aktif ketika masuk atau keluar dari negara ini.
“Penguatkuasaan penuh mulai 15 November ini akan memastikan hanya kenderaan asing yang berdaftar dan mempunyai tag RFID aktif dibenarkan menggunakan jalan di negara ini.
“Operasi ini tidak terhad di kawasan sempadan Johor Bahru sahaja, sebaliknya akan diperluaskan ke negeri lain seperti Melaka bagi mengesan kenderaan Singapura yang bergerak lebih jauh ke dalam negara.
“Jadi, pemilik kenderaan asing diingatkan supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan kesulitan ketika masuk atau keluar dari Malaysia,” katanya.
*FOTO : BERNAMA