6 NOV : Filipina diisytihar darurat kebangsaan susulan Taufan Kalmaegi (Tino) yang melanda negara itu hingga menyebabkan kemusnahan besar hingga banyak kawasan ditenggelami air dan sudah meragut 140 nyawa.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan perkara itu, hari ini ketika taklimat khas bersama agensi pengurusan bencana di Camp Aguinaldo, Manila.
Taufan yang wilayah tengah negara itu turut menyebabkan lebih 120 individu dilaporkan hilang.
Pengisytiharan itu bagi membolehkan kerajaan mempercepatkan pengagihan dana kecemasan, mengawal harga barangan keperluan asas serta meningkatkan usaha pemulihan di kawasan terjejas.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC), kebanyakan mangsa terkorban akibat banjir kilat di wilayah Cebu termasuk di Talamban dan Liloan, yang mengalami kerosakan infrastruktur paling teruk dalam sejarah terkini.
Taufan Kalmaegi yang membawa angin melebihi 150 kilometer sejam,kini sudah meninggalkan perairan Filipina dan bergerak menuju Vietnam, yang turut melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kesannya.
Pihak berkuasa Vietnam dilaporkan memindahkan ribuan penduduk dari kawasan berisiko tinggi serta menutup sekolah dan pelabuhan sebagai langkah keselamatan awal.
Sementara itu, pakar meteorologi memberi amaran bahawa satu lagi sistem ribut dari Lautan Pasifik berpotensi berkembang menjadi super taufan dan mungkin melanda utara Filipina dalam beberapa hari akan datang.