KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (MCMC)
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum aduan orang awam berhubung kualiti perkhidmatan komunikasi mudah alih di sekitar kawasan bandar Sibu, Sarawak, yang turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibu dalam sesi Parlimen, baru-baru ini.
Susulan itu, MCMC telah melaksanakan ujian liputan rangkaian di beberapa lokasi tumpuan termasuk di Jalan Pulau, Jalan Merdeka dan kawasan Sungai Bidut, Sibu. Hasil penilaian mendapati prestasi rangkaian mudah alih di kawasan yang diuji adalah baik dan stabil, dengan kadar muat turun dan muat naik berada pada tahap memuaskan bagi semua penyedia perkhidmatan utama.
Siasatan turut mendapati gangguan sementara terhadap kualiti rangkaian pada 1 November 2025 berpunca daripada insiden bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang di salah satu menara telekomunikasi utama di kawasan Sri Aman. Gangguan tersebut telah menjejaskan sambungan antara menara di kawasan bahagian tengah hingga utara Sarawak termasuk di bandar Sibu. Perkhidmatan rangkaian dipulihkan secara berperingkat mulai jam 10 pagi hingga 5 petang hari yang sama.
Sepanjang tahun 2025, MCMC telah melaksanakan 61 audit rangkaian di daerah Sibu dan mengeluarkan 16 notis penambahbaikan kepada penyedia perkhidmatan yang tidak memenuhi piawaian prestasi. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap optimum.
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (MCMC)