10 NOV : Kesemua calon PKR yang disenaraikan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah sudah menandatangani surat aku janji serta bon perjanjian.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata bon perjanjian bernilai RM10 juta itu ditandatangani sepuluh calon PKR terbabit sekiranya mereka membelot amanah parti.
“PKR telah membariskan calon pelbagai latar belakang terdiri daripada bekas timbalan menteri, penjawat awam dan golongan profesional.
“Semoga komitmen 100 peratus calon kepada parti, pengundi dan kawasan diwakili dapat melaksanakan amanah diberikan sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan kesemua calon bagi 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Bakal calon PKR pada PRN Sabah yang diumum adalah Peto Galim (Inanam), Thonny Chee (Api-Api), Awang Husaini Sahari (Petagas), Datuk Yamani Hafez Musa (Sindumin), Datuk Jamawi Jaafar (Melalap), Datin Rufinah Pengeran (Tulid), Abdul Said Pimping (Gum-Gum), George Hiew (Karamunting), Romansa Lamin (Segama) dan Datuk Ruji Ubi (Merotai).
Anwar dalam pengumumannya memaklumkan PH bertanding di 23 kerusi daripada 73 kerusi DUN dengan menggunakan logo PH.
Komponen PH, DAP bakal bertanding lapan kerusi sementara Amanah di satu kerusi.