Tuntutan 40% hasil Sabah dimuktamad esok
10 NOV : Kerajaan akan memuktamadkan soal tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah pada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dijadual esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jemaah menteri perlu mendengar pejelasan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebelum membuat keputusan.
“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok.
“Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa. Tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli jemaah menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan terdapat beberapa kekangan dan keterbatasan dalam isu tersebut.
Katanya, rundingan akan dibuat dengan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Sabah selesai.
“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government).
“Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.
Anwar berkata Kerajaan MADANI sudah menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah berbanding pentadbiran sebelum ini.
Katanya, sebanyak RM17 bilion disalurkan kepada Negeri Di Bawah Bayu itu setahun berbanding hasil kutipan RM10 bilion setahun.
“Mengapa ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya meningkatkan jumlah pemberian khas kepada Sabah sebanyak RM600 juta? Namun, ini belum muktamad.
“Kerajaan negeri meminta tambahan dan dalam mesyuarat akan datang, kita akan runding lagi berapa jumlah yang boleh ditambah,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA