Tiada rakyat ketinggalan akses teknologi di negara ini
10 NOV : Kerajaan MADANI bertekad tiada rakyat yang ketinggalan dalam mengakses teknologi terkini termasuk masyarakat di kawasan pedalaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sejajar tuntutan semasa di mana setiap negara perlu mengikuti arus perubahan teknologi yang pesat.
“Marcapada menuntut setiap negara untuk sentiasa mengikuti arus perubahan teknologi yang pesat, termasuk kemajuan dalam bidang AI (kecerdasan buatan) yang kini semakin diterapkan dalam kehidupan seharian, daripada sistem perkhidmatan awam hingga kepada penyampaian maklumat serta urus tadbir negara.
“Justeru Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini dan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, kita bertekad memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk di kawasan pedalaman, tidak ketinggalan dalam mengakses teknologi terkini, sama ada dalam bidang perniagaan, pendidikan, perbankan, mahupun pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Jelajah Malaysia Digital di Sabah, hari ini.
Menurut Anwar, usaha kerajaan itu bukan sekadar bagi menyesuaikan diri dengan perubahan zaman namun juga untuk mendepani masa depan dengan kesiapsiagaan agar Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi turut menjadi pencipta dan peneraju inovasi digital di rantau ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata platform Jelajah Malaysia Digital itu dibawah tanggungjawab Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam memperkukuh proses penerapan teknologi AI yang semakin penting bagi membentuk masa depan ekonomi, daya saing dan kesejahteraan rakyat.
