15 MEI : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak mengiktiraf silibus Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebaliknya hanya membuka laluan kemasukan bagi lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman menegaskan pengumuman terbaharu KPT itu bukan bagi mengiktiraf sistem pendidikan luar.
“Tidak, sebenarnya terdapat perbezaan besar antara kelayakan UEC dan juga kelayakan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia).
“Jadi sekali lagi, ini bukan soal pengiktirafan. Tiada pengiktirafan terhadap silibus UEC.
“Yang penting kita memberi laluan terbabit. Dalam pemilihan pelajar itu nanti, universiti mengikut syarat dan kriteria masing-masing akan menilai (kelayakan) pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), hari ini.
Semalam, KPT mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC boleh mengikuti program tertentu di IPTA.
Menurut KPT, keputusan berkait laluan kemasukan pelajar di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA itu diputuskan Kabinet dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM juga boleh dipertimbang untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.
Sementara itu, pada sidang media sama menjawab Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mendakwa syarat kemasukan ditetapkan KPT masih terlalu tinggi, Azlinda menegaskan standard serta kualiti kemasukan lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA tidak boleh dikompromi.
Tegasnya lagi, kesemua syarat kemasukan ditetapkan Senat Universiti masing-masing tanpa campur tangan pihak luar.
“Sebenarnya kita di peringkat universiti sudah ada syarat kita. Kita sudah pun menelitinya dan semestinya bagi KPT, Senat Universiti adalah kuasa yang tertinggi, mereka yang menentukan kualiti serta standard.
“Yang itu kita tidak boleh kompromi. Tak ada sesiapa yang boleh campur tangan,” jelasnya.